Nor Fazlina Abdul Rahim


Pasir Mas: Pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan mencederakan isteri dan ibu mentuanya di Kampung Cabang Empat, Tumpat, minggu lalu.

Tertuduh, Wan Mohammad Hafizuddin Wan Ismail, 27, membuat pengakuan berkenaan sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh dengan sengaja mencederakan ibu mentuanya, Tuan Azizah Tuan Bongsu, 61, dan isterinya, Nik Salma Joni, 26, menggunakan pisau yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Cabang Empat, Tumpat pada 5.30 petang, 21 Jun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan dan dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama 326A Kanun Keseksaan bagi pertuduhan kedua.

Bagi Seksyen 324 Kanun Keseksaan, ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua, manakala Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat atau mana-mana dua jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Hajarul Falenna memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana dibimbangi tertuduh mengganggu saksi.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 5 September depan sebagai tarikh hukuman.

Harian Metro sebelum ini melaporkan lelaki terbabit bertindak menikam isteri dan ibu mentuanya dipercayai akibat perselisihan faham.

Kejadian itu menyebabkan isterinya parah dengan kecederaan di kepala dan badan termasuk kedua belah tangan, manakala ibu mentua pula cedera di kepala dan menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Pemandu lori terbabit yang mempunyai empat rekod lampau berjaya ditahan di Lembah Sireh, Kota Bharu.

TERTUDUH (tengah) di Mahkamah Sesyen Pasir Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
TERTUDUH (tengah) di Mahkamah Sesyen Pasir Mas. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2022 @ 2:12 PM