AHMAD Hamzah merasmikan Program Biodervisiti Sumber Perikanan Sumber Perikanan Pulau Undan. FOTO Nuraliawati Sabri
AHMAD Hamzah merasmikan Program Biodervisiti Sumber Perikanan Sumber Perikanan Pulau Undan. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri

Melaka: Tiga pulau di Melaka akan diwartakan sebagai Taman Laut Negara, menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, tiga pulau itu iaitu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol akan diwartakan dibawah Seksyen 41, Akta Perikanan 1985 (Akta 317).

Beliau berkata, pewartaan ketiga-tiga pulau itu kira-kira satu nautika membabitkan jumlah lebih RM1 juta.

"Permohonan pewartaan kini sudah di peringkat kerajaan persekutuan selepas permohonan itu diluluskan di peringkat kerajaan negeri dan sebelum akhir tahun ini kita akan laksanakan pewartaan ini.

"Bagi peringkat pertama, Kementerian Pertanian meluluskan lebih RM1 juta dan ia akan membabitkan beberapa peringkat mengikut kesesuaian bagi pastikan ketiga-tiga pulau ini akan menjadi kawasan perlindungan Marine Protected Area (MPA)," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media pada Program Melabuh Tukun Tiruan Konkrit di Perairan Pulau Nangka, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Mohd Sufian Sulaiman di Pulau Undan, hari ini.

Menurutnya, selepas diwartakan kelak ia akan memberi impak bukan dapat melindungi habitat di kawasan itu malah mampu menambah tahap sara diri (SSL) perikanan negeri.

"Habitat yang kita wujudkan bukan hanya untuk hasil di kawasan itu tetapi akan turut melimpah ke kawasan sekitar dan sumber perikanan akan terus bertambah.

"Di Melaka SSL perikanan hanya kira-kira 24 peratus sahaja dan kita yakin usaha ini akan meningkatkan lagi bilangan SSL perikanan," katanya.

Mengulas lanjut Ahmad berkata, pihaknya yakin usaha mewartakan Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol sebagai Taman Laut Negara akan menjadi produk pelancongan terkemuka negeri ini.

"Perairan ketiga-tiga pula ini dikenal pasti mempunyai terumbu karang yang luar biasa dan mampu menarik ramai pelancong," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sejumlah RM300,000 diperuntukkan untuk sembilan unit Tukun Tiruan Konservasi yang dilabuhkan di kawasan Taman Laut Pulau Nangka, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 2:47 PM