Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sudah melupuskan 306 bot milik nelayan asing bernilai RM459 juta sejak 2007 sehingga kini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, APMM Zon Pantai Timur melupuskan kesemua bot yang dirampas itu secara penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan dengan menempatkannya di sekitar pulau-pulau di perairan Kelantan dan Terengganu.

"Kawasan tukun tiruan memberi satu kesan jangka panjang sebagai habitat baharu untuk ekosistem marin, menjadi peranti pemuliharaan biodiversiti marin serta tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut.

"Tukun ini juga akan menjadi tarikan di kawasan taman-taman laut di Pantai Timur bagi merancakkan lagi sektor pelancongan," katanya kepada media selepas Program Pelupusan Bot Rampasan di perairan Pulau Susu Dara di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah APMM Kelantan Kapten (M) Syed Nor Adli Syed Ab Rahman, Pengarah APMM Pahang Laksamana Pertama (M) Datuk Amran Daud, Pengarah APMM Terengganu Kapten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli dan Pengarah Bahagian Pengurusan Aset APMM Mohamad Shaffie Hassan.

Terdahulu, Kamaruszaman menyaksikan tiga bot nelayan asing ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di sekitar Pulau Susu Dara pada jarak 10 batu dari muara Tok Bali.

BOT nelayan asing Vietnam dilupuskan dengan penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Susu Dara. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
BOT nelayan asing Vietnam dilupuskan dengan penenggelaman untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Susu Dara. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Proses penenggelaman kesemua bot itu mengambil masa hampir sejam.

Menurut Kamaruszaman, ketiga-tiga bot yang dilupuskan itu dilucut hak dan ditahan Kapal Maritim (KM) Langkawi serta bot Penggalang 14 atas kesalahan menceroboh serta melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran di perairan Pahang pada 2019.

"Selepas didapati bersalah dan dilucut hak oleh mahkamah, APMM memutuskan untuk melupuskan bot-bot itu dengan menenggelamkannya.

"Tiga bot yang dilupuskan ini dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan dengan pelupusan ini, ia sekali gus mengurangkan kesesakan di Jeti Pusat Tahanan Vesel," katanya.

Katanya, proses penenggelaman bot sebagai tukun tiruan ini mendapat kerjasama Institut Sumber Marin Asia Tenggara (Ismat) bagi memastikan kesesuaian lokasi, tidak menjejaskan biodiversiti marin selain memberi manfaat kepada nelayan pesisir pantai.

"Dalam masa terdekat ini, APMM Pahang akan menenggelamkan tiga lagi bot untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Tioman selepas mendapat keputusan pelucutan hak daripada mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 4:10 PM