KERETA terbabas ke dalam longkang besar menyebabkan dua maut. FOTO ihsan Bomba
KERETA terbabas ke dalam longkang besar menyebabkan dua maut. FOTO ihsan Bomba
Omar Ahmad


Johor Bahru: Dua lelaki maut manakala dua cedera apabila kereta terbabas sebelum masuk longkang besar di kilometer 14.3 Lebuhraya Iskandar Sultan menghala ke Johor Bahru, 2.05 pagi, hari ini.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, kereta itu membawa empat sekawan dan kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu melanggar pembahagi jalan di lorong kanan.

"Kemudian kereta terbabit terbabas ke kiri jalan kerana hilang kawalan selepas melalui selekoh dan masuk ke dalam longkang besar yang dipenuhi air lalu tenggelam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Rupiah, pemandu dan penumpang yang meninggal dunia berumur 18 tahun manakala dua penumpang belakang berusia 15 dan 16 tahun cedera dan berjaya keluar dari kereta terbabit.

"Mereka mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya.

Kes disiasat menigkut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Suhaimi Abdul Jamal berkata, pihaknya menerima panggilan pada 1.49 pagi.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati kemalangan melibatkan Proton Wira terbabas masuk ke dalam longkang.

"Terdapat empat mangsa yang terlibat dan dua mangsa telah berjaya keluar daripada kenderaan sebelum ketibaan pihak Bomba. PKO mengeluarkan mangsa yang terperangkap dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Julai 2022 @ 12:30 PM