SEORANG lelaki dilaporkan maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Alphard dipandunya terbabas masuk ke dalam longkang berisi air FOTO BPM Johor
SEORANG lelaki dilaporkan maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Alphard dipandunya terbabas masuk ke dalam longkang berisi air FOTO BPM Johor
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dipandunya terbabas ke dalam longkang sedalam dua meter di Lebuhraya Pesisir Pantai di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.40 pagi itu, lelaki warga tempatan berusia 25 tahun itu memandu berseorangan sebelum MPV berkenaan hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, hasil siasatan awal mendapati akibat hilang kawalan, kenderaan itu terbabas melanggar besi penghadang di bahu jalan sebelum terjunam ke dalam longkang.

"Pemandu dan kenderaannya terjunam ke dalam longkang di kiri jalan. Mangsa parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, seramai 14 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin bergegas ke lokasi kejadian sebaik Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan jalan raya itu.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Azmi Johar berkata, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian mendapati Toyota Alphard itu terbabas ke dalam longkang yang berisi air sedalam kira-kira dua meter.

"PKO turun ke longkang dengan bantuan tangga jentera dan seorang mangsa lelaki dewasa ditemui pada jarak kira-kira 15 meter daripada kenderaannya.

"Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan media.

Menurut beliau, selepas memastikan tiada mangsa lain yang terbabit, operasi ditamatkan pada jam 7.24 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 1:33 PM