Noh Omar (tengah) bersama para peserta pada Perasmian Program Malaysia Sports League (MSL 2022) Peringkat Negeri Selangor di Seksyen 14 Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Noh Omar (tengah) bersama para peserta pada Perasmian Program Malaysia Sports League (MSL 2022) Peringkat Negeri Selangor di Seksyen 14 Shah Alam hari ini. FOTO BERNAMA
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) akan mengambil menangguhkan projek pembangunan sebagai usaha penjimatan sepertimana arahan Kementerian Kewangan.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar bagaimanapun berkata, program pembangunan usahawan tetap diteruskan kerana ia adalah agenda utama kementerian berkenaan.

"Kuskop antara kementerian yang dapat peruntukan paling kecil sebab kita tidak ada banyak program pembangunan, kita banyak menggunakan agensi-agensi sedia ada untuk membantu usahawan.

"Kalau kata pembangunan mungkin kita tangguh dulu, tetapi untuk membantu usahawan, kita kena berterusan sebab ramai usahawan baru hendak bangkit.

"Dalam keadaan (sekarang) usahawan hendak bangkit semula maka kita akan berusaha membantu usahawan dan mengenai peruntukan yang ada di kementerian saya ini, kita akan lebih banyak belanjakan untuk bantu usahawan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan Kementerian Kewangan berhubung langkah penjimatan yang boleh diambil setiap kementerian.

Kelmarin, Kementerian Kewangan mengarahkan semua kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun Persekutuan dan syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) diarah melaksanakan langkah penjimatan dalaman dengan mengoptimumkan perbelanjaan, bagi membolehkan penjimatan itu disalurkan untuk kesejahteraan rakyat.

Arahan itu dikeluarkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia bertajuk 'Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam' ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Datuk Seri Asri Hamidon dan berkuat kuasa Rabu lalu.

Terdahulu, Noh merasmikan Program Malaysia Sports League (MSL 2022) peringkat Selangor di Dwi Emas International School, Seksyen 14 di sini, semalam.

Mengulas mengenai program itu, Noh berkata, MSL 2022 Peringkat Negeri Selangor ini mempertandingkan lima jenis sukan iaitu futsal (lelaki dan wanita), bola jaring, sepak takraw, bola keranjang '3 on 3' (lelaki dan wanita) serta badminton (lelaki dan wanita).

"MSL di peringkat daerah bermula pada 25 Mac lalu dan berakhir pada 5 Jun dengan penyertaan lebih 2,000 peserta.

"Juara bagi setiap acara yang dipertandingkan akan mewakili Selangor pada MSL Peringkat Kebangsaan pada Ogos ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 4:07 PM