Norzamira Che Noh

Shah Alam: Satu skim khas akan diwujdkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam membantu usahawan dalam talian (online) bagi merancak serta mengembangkan perniagaan mereka.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, perniagaan dalam talian adalah cara baharu yang mendapat sambutan terutamanya dalam kalangan anak muda dan skim khas itu secara tidak langsung akan membantu.

"Berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malayia (SSM) dalam tempoh masa antara 1 Mac dan 31 Oktober 2020, sebanyak 373,213 entiti mendaftarkan perniagaan mereka di bawah SSM bagi kategori perniagaan dalam talian.

"Perniagaan online mendapat sambutan luar biasa kerana lebih fleksibel yang mana ia tidak semestinya dilakukan secara 'full time' (sepenuh masa) malah peniaga boleh berniaga dari rumah dan tidak perlu modal untuk membuka kedai.

"Jadi, KUSKOP sudah meminta semua agensinya menyediakan satu skim khas bagi membantu usahawan dalam talian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil Selangor di sini, hari ini.

NOH Omar (dua kanan) melawat pameran produk usahawan pada Majlis Perasmian Penutup Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Selangor 2022. FOTO Faiz Anuar
NOH Omar (dua kanan) melawat pameran produk usahawan pada Majlis Perasmian Penutup Program Pemantapan Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Selangor 2022. FOTO Faiz Anuar

Noh berkata, pihaknya juga akan mencadangkan perkara tersebut kepada kerajaan dalam belanjawan akan datang.

Jelasnya, rancangan skim khas itu akan memperuntukkan jumlah maksimum mengikut agensi yang terdapat di bawah kementeriannya.

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada lebih 2,000 individu yang sudah mengikuti kursus berkenaan bagi menjadi kumpulan pertama menerima skim di bawah agensi KUSKOP.

Sementara itu, beliau berkata, bagi menjadikan platform digital kementeriannya, MyMall sebagai penyedia e-dagang terkemuka yang mampu bersaing dengan platform sedia ada, empat platform e-dagang iaitu ODELA oleh SME Bank, Pybli oleh Pernas, Angsana Virtual Mall oleh UDA Holdings dan WarongKu digabungkan di letakkan di bawah MyMall.

Katanya, pihaknya akui untuk bersaing dengan platform e-dagang sedia ada bukan sesuatu yang mudah namun beliau berharap ia mampu setanding pada masa depan.

"Sambutan ketika ini amat menggalakan dan kita akan terus berusaha menguar-uarkan peniaga online untuk menyertai platform itu," katanya.

Terdahulu, program yang mengumpulkan 2,836 penjaja dan peniaga itu berlangsung sebanyak 10 siri di seluruh negara dan Selangor dipilih sebagai lokasi terakhir acara tersebut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 4:37 PM