KEBAKARAN yang memusnahkan rumah panjang Uma Sambop di Belaga. FOTO Erika George
KEBAKARAN yang memusnahkan rumah panjang Uma Sambop di Belaga. FOTO Erika George
Erika George


Belaga: Seramai 78 keluarga hilang tempat berteduh selepas rumah panjang didiami mereka di Uma Sambop Long Semutut di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Kebakaran yang berlaku pada 3 petang itu turut memusnahkan kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Uma Sambop.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak dalam kenyataannya berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Belaga digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kebakaran yang berlaku.

"Maklumat awal yang diterima mengesahkan kebakaran yang berlaku turut memusnahkan keseluruhan struktur bangunan rumah panjang berkenaan," kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuninya berjaya menyelamatkan diri.

"Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2022 @ 11:03 PM