KEADAAN rumah panjang yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
KEADAAN rumah panjang yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba.
Erika George


Belaga: Seramai 150 penduduk dari 24 keluarga di rumah panjang Uma Lesong di Sungai Batu Keling berdekatan tasik Empangan Bakun hilang tempat tinggal selepas rumah panjang berkenaan musnah dalam kebakaran, semalam.

Ketika kejadian, kebanyakan penduduk sudah ke kebun dan pekan berdekatan termasuk urusan lain di luar rumah panjang.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Christus Buson pihaknya hanya menerima makluman berhubung kejadian pada 3 petang.

Katanya, beliau bersama tiga pegawai ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan serta pemantauan di rumah panjang.

"Pihak kita turut dimaklumkan rumah panjang jenis tidak kekal itu ranap sepenuhnya dalam masa empat jam yang mana api padam sepenuhnya pada 2 petang," katanya.

Katanya, penduduk tidak dapat melakukan apa-apa bagi memadam kebakaran kerana tiada balai bomba berdekatan.

Menurutnya, pasukan BBP Bintulu bermalam di Empangan Bakun malam tadi sebelum meneruskan perjalanan ke lokasi kebakaran dengan menggunakan bot Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) yang mengambil masa tiga jam.

Christus berkata, kebakaran tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana penduduk berjaya menyelamatkan diri.

"Kita dimaklumkan kesemua mangsa terjejas menetap di khemah sementara yang didirikan sementara menunggu bantuan tiba," katanya.

Menurutnya, faktor kawasan yang terletak jauh di pedalaman iaitu tujuh jam perjalanan dari Bandar Bintulu dengan menggunakan jalan darat dan sungai antara kesukaran yang dihadapi pasukan bomba memadam kebakaran yang berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 8:36 AM