Operasi membersihkan pokok tumbang akibat angin kencang di sekitar Kota Kinabalu. Foto Ihsan JBPM
Operasi membersihkan pokok tumbang akibat angin kencang di sekitar Kota Kinabalu. Foto Ihsan JBPM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Hujan lebat disertai ribut menyebabkan sekurang-kurangnya 40 kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di negeri ini.

Antara daerah yang terjejas ialah Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran, Kudat, Sipitang, Tenom, Kimanis, Papar, Beaufort dan Kuala Penyu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, kejadian pokok tumbang paling banyak dilaporkan di daerah Kuala Penyu dengan 10 kes.

Katanya, ia diikuti daerah Penampang dengan lapan kes dan Kota Kinabalu yang membabitkan lima kes.

"Manakala bagi daerah lain adalah Tuaran dengan empat kes dan masing-masing dua kes di daerah, Sipitang, Kunak, Kudat, Kimanis dan Papar. Bagi daerah Beaufort pula hanya membabitkan satu kes pokok tumbang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, tiada mangsa cedera atau kematian dilaporkan, namun terdapat kejadian membabitkan pokok tumbang ke atas kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 2:34 PM