FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Sepang: Empat lagi rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan di antara RM5,000 hingga RM8,000 di Kemboja dibawa pulang ke tanah air hari ini.

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata mereka adalah sebahagian daripada 54 rakyat Malaysia di luar negara yang berjaya diselamatkan setakat ini membabitkan sindiket penipuan pekerjaan.

"Masih ada lima rakyat Malaysia yang berada di Kemboja dalam tahanan pihak berkuasa dan mereka perlu melalui proses dokumentasi undang-undang sebelum dapat pulang ke negara ini," katanya kepada pemberita selepas keempat-empat warganegara berumur lingkungan 29 hingga 41 tahun itu selamat tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Mengenai modus operandi terbabit, beliau berkata sindiket itu menawarkan pekerjaan seperti di pusat panggilan dengan gaji lumayan dan mereka yang tertipu didapati terpengaruh dengan iklan tular di media sosial seperti Facebook dan aplikasi WeChat.

"Apabila rakyat kita sampai di sana dan mendapati situasi bukan seperti yang dijanjikan, mereka rasa terpedaya dan apabila mahu kembali ke Malaysia, berlaku ugutan, penderaan dan sebagainya," katanya yang tidak menolak kemungkinan ada rakyat negara ini yang bersubahat dengan sindiket di Kemboja.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hussein berkata setakat ini pihaknya menerima 156 laporan membabitkan 189 mangsa atau warganegara Malaysia yang berada di luar negara akibat tertipu dengan sindiket penawaran pekerjaan.

"Dalam rekod kita, terdapat 135 mangsa yang masih di luar negara dan mereka sedang dikesan dengan kerjasama pihak berkuasa negara berkaitan," katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang terbabit dengan sindiket sebegini juga paling banyak didapati di Kemboja merangkumi 40 peratus daripada jumlah kes diikuti Myanmar dan Laos.

Hussein juga berkata kejayaan membawa pulang empat rakyat Malaysia kali ini adalah antara siri menyelamatkan mangsa yang dilakukan secara berterusan dengan kerjasama PDRM, Wisma Putra, Polis ASEAN (Aseanapol), Polis Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa Kemboja.

Beliau berkata keempat-empat individu akan disoal siasat sebelum dibenarkan pulang.

Setiausaha Bahagian Konsular, Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri Mohd Adli Abdullah pula mengulangi peringatan supaya rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara sentiasa berhati-hati dengan iklan tawaran pekerjaan tular terutama di media sosial.

Katanya ada mangsa ke luar negara tanpa memaklumkan kepada anggota keluarga dan menasihati warganegara ini yang berdepan sebarang masalah agar menghubungi kedutaan Malaysia atau pihak berkuasa negara terbabit.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kemboja dan Kedutaan Besar Malaysia di negara itu yang memudah cara urusan membawa pulang rakyat Malaysia terbabit, yang mencerminkan hubungan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Pada 11 April lalu, dilaporkan seramai 12 rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan di Kemboja dibawa pulang ke tanah air dan baki empat lagi yang terbabit dalam sindiket sama pulang pada 19 April.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 7:11 PM