FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Sepang: Masih terdapat 135 mangsa membabitkan rakyat Malaysia yang masih ditawan sindiket `scammer' di luar negara dan usaha menyelamatkan mereka sedang dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa negara berkaitan.

Terbaru empat lagi rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan menawarkan gaji lumayan di antara RM5,000 hingga RM8,000 di Kemboja selamat dibawa pulang ke tanah air semalam.

Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat mangsa terbabit adalah sebahagian daripada 54 rakyat Malaysia di luar negara yang berjaya diselamatkan setakat ini membabitkan sindiket penipuan pekerjaan.

"Masih ada lima rakyat Malaysia yang berada di Kemboja dan dalam tahanan pihak berkuasa negara itu. Mereka perlu melalui proses dokumentasi undang-undang sebelum dapat pulang ke negara ini," katanya selepas keempat-empat warganegara berumur lingkungan 29 hingga 41 tahun itu selamat tiba di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Mengenai modus operandi sindiket terbabit, beliau berkata sindiket itu menawarkan pekerjaan seperti di pusat panggilan dengan gaji lumayan dan mereka yang tertipu didapati terpengaruh dengan iklan tular di media sosial seperti Facebook dan aplikasi WeChat.

"Apabila rakyat kita sampai di sana dan mendapati situasi bukan seperti dijanjikan, mereka rasa terpedaya dan apabila mahu kembali ke Malaysia. Akibatnya berlaku ugutan, penderaan dan sebagainya," katanya yang tidak menolak kemungkinan ada rakyat negara ini yang bersubahat dengan sindiket di Kemboja.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hussein berkata setakat ini pihaknya menerima 156 laporan melibatkan 189 mangsa atau warganegara Malaysia yang berada di luar negara akibat tertipu dengan sindiket penawaran pekerjaan.

Beliau berkata rakyat Malaysia yang terbabit dengan sindiket sebegini juga paling banyak didapati di Kemboja merangkumi 40 peratus daripada jumlah kes diikuti negara Myanmar dan Laos.

Hussein juga berkata kejayaan membawa pulang empat rakyat Malaysia kali ini adalah antara siri menyelamatkan mangsa yang dilakukan secara berterusan dengan kerjasama PDRM, Wisma Putra, Polis ASEAN (Aseanapol), Polis Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa Kemboja.

Beliau berkata keempat-empat individu akan disoal siasat sebelum dibenarkan pulang.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Konsular, Jabatan Protokol dan Konsular Kementerian Luar Negeri Mohd Adli Abdullah pula mengulangi peringatan supaya rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara sentiasa berhati-hati dengan iklan tawaran pekerjaan tular terutama di media sosial.

Katanya ada mangsa ke luar negara tanpa memaklumkan kepada anggota keluarga dan menasihati warganegara ini yang berdepan sebarang masalah agar menghubungi kedutaan Malaysia atau pihak berkuasa negara terbabit.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Kemboja dan Kedutaan Besar Malaysia di negara itu yang memudah cara urusan membawa pulang rakyat Malaysia terbabit, yang mencerminkan hubungan kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 5:09 PM