POLIS menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
POLIS menjalankan siasatan di lokasi kejadian. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Polis menahan seorang lelaki warga asing bagi membantu siasatan kes bunuh warga Indonesia dalam kejadian pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Jalan AU2A/14 Taman Keramat, Hulu Kelang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam jam 10.36 malam tadi.

"Terdapat mayat seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun yang bekerja sebagai buruh terbaring di jalan raya.

"Pemeriksaan mendapati terdapat kesan darah pada mulut dan satu tikaman pada dada mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, polis yang tiba di lokasi kejadian menahan seorang lelaki warga asing berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai.

"Punca kejadian itu dipercayai akibat pertengkaran antara mangsa dan suspek. Bagaimanapun, soal siasat akan diteruskan bagi mengetahui punca sebenar kejadian.

"Kami turut merampas satu pisau pemotong sayur di rumah suspek yang dipercayai digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu," katanya.

Beliau berkata, mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk proses bedah siasat.

"Semakan mendapati mangsa dan suspek mempunyai dokumen perjalanan sah. Reman terhadap suspek akan dipohon hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan lelaki warga asing dibunuh selepas terbabit dalam pergaduhan di hadapan sebuah rumah di Jalan AU2A/14 Taman Keramat, Hulu Kelang, di sini, malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Julai 2022 @ 10:57 AM