GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Polis memburu tiga lelaki warga asing yang melarikan diri ketika dikejar anggota kereta peronda polis (MPV) di Bulatan Hillview, Huku Kelang, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.15 pagi apabila pasukan rondaan melihat kenderaan dinaiki tiga individu berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika cuba menahan kenderaan jenis Toyota Vellfire dinaiki kumpulan lelaki itu, secara tiba-tiba kenderaan dinaiki suspek terus memecut laju ke arah Jalan Ampang.

"Anggota polis kemudian mengejar kereta terbabit yang menghala ke lebuh raya sebelum terbabas ditepi jalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, suspek dipercayai warga Afrika melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan mewah itu.

"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan mendapati kereta itu didaftar atas penama warga tempatan dan tiada rekod hilang.

"Polis menemui beberapa topeng muka berwarna hitam dan putih. Kenderaan berkenaan dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut juga mendapati seorang lelaki warga asing menyewa kenderaan berkenaan dari sebuah syarikat sewa kereta di Cheras 2, Balakong.

"Pemilik kenderaan itu juga sudah di panggil untuk memberi keterangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 2:39 PM