Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya
Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya
Safeek Affendy Razali


Kuala Lumpur: Polis Daerah Dang Wangi menasihatkan orang ramai untuk tidak menyertai Himpunan Bantah Kenaikan Harga Barang, yang dijadualkan di Kampung Baru, di sini, esok.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya ada menerima maklumat mengenai perhimpunan yang akan diadakan selepas solat Jumaat itu, namun tiada sebarang notis pemberitahuan diterima daripada penganjur.

"Polis ada menerima maklumat, bagaimanapun tiada sebarang pemberitahuan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman (APA 2012) diterima dari mana-mana pihak setakat ini.

"Sehubungan itu, polis menasihati mana-mana pihak atau orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan itu dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang yang berkuat kuasa," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Dellhan berkata, pihaknya akan menempatkan pegawai dan anggota polis di kawasan berkenaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan.

Sebelum ini Parti Amanah Negara (Amanah) merancang satu perhimpunan di ibu negara, pada 1 Julai ini bagi mendesak diperuntukkan semula subsidi makanan asas rakyat seperti ayam, telur dan minyak masak.

Pengarah Biro Mobilisasi Amanah Sany Hamzan dilaporkan berkata, perhimpunan itu akan diadakan di Masjid Jamek, Kampung Baru, jika masalah kenaikan harga barang yang berlarutan sejak tiga bulan lalu masih gagal ditangani kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Jun 2022 @ 6:07 PM