Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama mengumumkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Marina Sutera Harbour hari ini. FOTO  MOHD ADAM ARININ
Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama mengumumkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Marina Sutera Harbour hari ini. FOTO MOHD ADAM ARININ
Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini mengumumkan keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang disertainya sejak November tahun lalu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Segama mendakwa mengambil tindakan itu kerana tidak diberi peranan dalam parti berkenaan.

Katanya, ia termasuk di kawasan Parlimen Lahad Datu yang diwakilinya berikutan semua hal parti itu hanya dikendalikan pemimpin sedia ada BERSATU.

"Keputusan keluar daripada BERSATU ini kerana saya tidak diberi peranan yang dijanjikan untuk memperkukuhkan parti itu sebelum ini.

"Saya dijanjikan peranan untuk memimpin parti di kawasan saya di Parlimen Lahad Datu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, namun setelah lebih enam bulan tiada sebarang peranan yang diberikan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohamaddin yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya keluar daripada Parti Warisan (WARISAN) pada Oktober tahun lalu sebelum menyertai BERSATU sebulan kemudian.

Berikutan tindakan, beliau kini kembali menjadi wakil rakyat bebas, namun katanya, mengambil pendirian mesra kerajaan.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai parti lain selepas ini, perkara itu, katanya, belum difikirkan lagi.

Mengulas lanjut, tindakannya mengumumkan keluar BERSATU adalah atas kehendaknya sendiri tanpa berbincang dengan mana-mana pemimpin parti itu termasuk presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Saya tidak bincang dengan Muhyiddin atau mana-mana pemimpin BERSATU kerana ini hak saya," katanya.

Katanya, beliau juga tidak bimbang digelar 'katak' berikutan tindakannya yang kerap keluar parti kerana orang ramai tidak memahami apa yang ditanggungnya berada dalam parti yang tidak memberi apa-apa peranan kepadanya.

"Saya keluar WARISAN dan selepas itu saya masuk BERSATU, lepas enam bulan saya keluar BERSATU lagi. Banyak yang panggil katak lompat sana sini tapi rakyat tidak faham.

"Bayangkan apa jadi duduk saja dalam parti selama enam bulan, bukannya bertelur.

"Saya tidak bimbang pandangan orang ramai. Siapa panggil katak, kataklah panggil monyet, monyetlah.

"Kalau katak tiada pelajaran itu namanya di bawah tempurung tapi kalau ada pelajaran dia lompat di atas tempurung, untuk rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Jun 2022 @ 11:50 AM