HAMZAH Zainuddin pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani surat akuan bersumpah. FOTO BERNAMA
HAMZAH Zainuddin pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani surat akuan bersumpah. FOTO BERNAMA
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Tindakan ahli politik yang mempersenda anggota keselamatan dalam insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu pada 2013 adalah sangat tidak bertanggungjawab.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, beliau marah dengan perbuatan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah itu yang memperlekehkan mempertahankan negara.

"Mengapa sampai begini sekali cara mereka nak berkempen. Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya akan pertahankan negeri ini sebaik mungkin bersama anggota keselamatan.

"Saya sayang agensi di bawah kementerian saya, maka sudah tentulah saya mempertahankan anggota dan pegawai yang terkorban di Tanduo pada 2013," katanya ketika sidang media selepas menyaksikan perjanjian kerjasama di antara Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di sini, hari ini.

Semalam, satu klip video tular di laman media sosial memaparkan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, mempersendakan pasukan keselamatan ketika berkempen sehingga mencetuskan kemarahan semua pihak.

Beliau bagaimanapun tampil dengan permohonan maaf dan menjelaskan kenyataannya berhubung pasukan keselamatan seperti diucapkan beliau dalam klip video itu sudah disalah erti.

Dalam pada itu, Hamzah menyelar cubaan sebuah parti politik untuk membeli undi anggota keselamatan yang mengundi awal hari ini.

Katanya, perbuatan itu menunjukkan parti politik terbabit semakin terdesak dan sanggup melakukan apa saja untuk menang tanpa menghormati anggota keselamatan.

"Ini menunjukkan mereka terdesak dan benar-benar takut untuk kalah dalam PRN ini. Mereka akan gunakan apa saja cara untuk menang," katanya.

Terdahulu, dua anggota pasukan keselamatan di Lahad Datu, ditahan semalam selepas dipercayai membawa sejumlah wang disyaki untuk membeli undi bagi mengundi sebuah parti politik tempatan.

Suspek dikatakan menjadi orang tengah untuk memberikan wang berkenaan kepada pengundi yang mengundi awal hari ini.

Suspek ditahan pasukannya selepas menerima maklumat risikan berhubung tindakannya yang menjadi wakil kepada parti politik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 6:06 PM