Mohamaddin Ketapi
Mohamaddin Ketapi

Bernama

Kota Kinabalu: Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohamaddin Ketapi menjelaskan beliau bertindak menyertai Bersatu dengan harapan dapat membawa kemajuan kepada kawasan Parlimennya itu.

Mohamaddin berkata, ini kerana Bersatu merupakan parti komponen dalam kerajaan hari ini dan berpendapat beliau tidak mampu menunaikan amanah kepada pengundi jika bergelar pembangkang.

"Saya rasa rakyat di sana (Lahad Datu) lebih faham. Apabila saya diundi, rakyat mengharapkan sesuatu daripada saya (kemajuan).

"Apa yang saya akan harapkan sebagai pembangkang... tak bawa apa-apa (kemajuan). Pada pilihan raya seterusnya, saya akan kembali lagi menagih sokongan daripada rakyat. Apa orang (rakyat) akan kata," katanya menerusi video yang dimuat naik dalam Facebook Penerangan Bersatu Sabah hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Segama itu yang mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah pada 30 Oktober lalu, turut memberitahu beliau terhutang budi kepada pengundi yang memilihnya sebagai wakil rakyat.

Semalam, Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan Mohamaddin menjadi ahli Bersatu secara rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 7:41 PM