Pengetua SMK Tebong K Pathemanathan Krishnan Kutty (kanan), menyerahkan peranti digital kepada ibu pelajar, Umathevi Edward (kiri), sewaktu sesi penyerahan di sekolah berkenaan. FOTO AMIR MAMAT
Pengetua SMK Tebong K Pathemanathan Krishnan Kutty (kanan), menyerahkan peranti digital kepada ibu pelajar, Umathevi Edward (kiri), sewaktu sesi penyerahan di sekolah berkenaan. FOTO AMIR MAMAT
Oleh Amir Mamat


Alor Gajah: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerusi menerusi Yayasan Petronas melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) dengan menyumbang peranti digital dengan data jalur lebar kepada 58 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebong di sini.

Sumbangan bernilai RM145,000 itu bertujuan untuk memberikan kemudahan lebih baik kepada pelajar dalam mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengurus Besar Petronas Wilayah Selatan Sazli Zakaria berkata, ia komitmen Petronas melalui Program Cerdik untuk membantu keluarga berpendapatan rendah menyesuaikan diri dengan normal baharu pembelajaran dalam talian, e-pembelajaran serta beberapa bentuk pengajaran jarak jauh yang lain.

"Melalui Cerdik, Petronas mahu menyediakan kemudahan akses yang efisien bagi mendapatkan pendidikan berkualiti selain merapatkan jurang digital kepada pelajar, khususnya dalam kalangan keluarga kurang berkemampuan serta luar bandar.

"Semoga mereka tidak ketinggalan dalam mengejar kecemerlangan akademik terutama sewaktu pelaksanaan sekatan pergerakan dan PdPR," katanya pada kenyataan hari ini.

Peranti digital itu diserahkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Alor Gajah untuk diedar kepada pelajar SMK Tebong menerusi Pengetuanya, K Pathemanathan Krishnan Kutty.

Setiap peranti digital itu dilengkapi dengan perkhidmatan data percuma, penyelenggaraan, sokongan teknikal dan jaminan bagi menyokong keperluan pelajar untuk tempoh akademik tiga tahun.

Mengulas lanjut, Sazli berkata, sejak Mei lalu, Yayasan Petronas mengedar 12,000 unit peranti digital dengan peranti sokongan berjumlah RM30 juta kepada 81 sekolah di 69 daerah di seluruh negara.

Kata beliau, pihaknya turut mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Kementerian Pendidikan, Kementerian Kewangan dan Yayasan Hasanah serta beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dengan mengutamakan sekolah yang majoriti pelajar daripada isi rumah kurang berkemampuan.

"Sumbangan Cerdik ini melengkapi pelbagai inisiatif berkaitan pendidikan oleh Yayasan Petronas yang memberi manfaat kepada pelajar dan guru.

"Ini termasuk program 'Back to School' pada Mac lalu yang mana peralatan sekolah dan kit penjagaan kebersihan diri diedar kepada 21,000 pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di seluruh negara.

"Yayasan Petronas turut menganjurkan Program Duta Guru yang juga kerjasama antara Yayasan Petronas dengan Kementerian Pendidikan. Pada awal tahun ini, semua guru sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik turut menerima kit pengajaran dan bimbingan dalam menyampaikan pembelajaran dalam talian untuk hasil pembelajaran yang lebih baik," katanya.

Sementara itu, pelajar tingkatan tiga SMK Tebong, Sanjiv Edward berterima kasih di atas sumbangan diterima.

"Terima kasih kepada Petronas kerana menyumbang. Ia memberi kemudahan kepada saya untuk terus mengikut PdPR dengan sempurna tanpa berhadapan dengan masalah kekurangan data di telefon bimbit.

"Selepas ini, dapatlah saya fokus dengan pembelajaran di rumah, saya tidak perlu risau untuk membeli data bagi setiap sesi pembelajaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Julai 2021 @ 3:57 PM