MUHAMAD Zaki ketika sidang media di IPK Kelantan di sini, hari ini. FOTO Siti Rohana Idris
MUHAMAD Zaki ketika sidang media di IPK Kelantan di sini, hari ini. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Polis akan mengambil keterangan beberapa individu yang disebut dalam laporan berkaitan tuntutan siasatan lanjut terhadap kematian pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya tidak akan membuka kertas siasatan kerana ia dijalankan oleh pihak berkuasa Thailand memandangkan kejadian pada 18 Mei 2019 itu berlaku di sana.

"Kita merekodkan keterangan daripada pengadu dan akan lihat beberapa nama yang disebut, seterusnya akan tunggu maklumat dari Wisma Putra dan Polis Antarabangsa (Interpol) apa maklumat atau keterangan yang boleh kita dapatkan.

"Apa yang boleh kita buat di sini, kita akan buat siasatan menyeluruh nama yang disebut dalam laporan dan setakat ini tiada lagi sesuatu yang boleh berikan pengesahan mengenai apa yang dikatakan itu.

"(Laporan) itu berdasarkan andaian apa yang berlaku, percakapan dalam kalangan keluarga dan rakan yang mungkin boleh andaikan begitu, tapi siasatan berdasarkan fakta," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Muhamad Zaki turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu itu dan memberi ruang untuk pihaknya menjalankan siasatan.

Katanya, beberapa nama yang disebutkan dalam laporan yang dibuat keluarga ahli perniagaan itu tidak semestinya terbabit kerana perlu melihat fakta yang lengkap.

"Bila nama disebut tidak semestinya terbabit, elakkan spekulasi dan bagi kami ruang untuk tengok satu persatu kerana ia memerlukan fakta lengkap dan tepat.

"Kita akan jalankan siasatan atas laporan yang dibuat pengadu sama ada terdapat kebenaran atau tidak, bukan berkaitan kematian kerana ia berlaku di Thailand," katanya.

Media sebelum ini melaporkan keluarga Allahyarham Faziani membuat laporan di Balai Polis Tumpat pada 16 Jun lalu selepas tiga tahun kematian pengasas produk berkenaan dalam kemalangan di Pattani, Thailand.

Kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dinaiki mangsa dan sebuah lori mengakibatkan wanita itu maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah, manakala suaminya, Shah Rizal Ibrahim cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 2:04 PM