Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Polis diminta membuat siasatan segera berhubung laporan dibuat seorang pengadu yang mendakwa pengendali laman sesawang Sarawak Report Clare Brown melakukan pemalsuan fakta berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Perdana Menteri dan isu berkaitan 1MDB.

Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, siasatan juga perlu dibuat terhadap bukti baru dikemukakan pengadu iaitu video pengakuan seorang individu dipercayai bekas pengarang Sarawak Report yang terbabit secara langsung dalam pembuatan memalsukan fakta, penerbitan dan penyebaran fakta palsu di laman sesawang Sarawak Report.

Katanya, laporan dibuat pengadu turut mendakwa mempunyai bukti kukuh wujud niat jahat oleh pihak berkepentingan untuk melunaskan sebuah misi bergelar ‘Mission to criminalize Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB.

Beliau berkata, menurut salinan laporan polis itu, video pengakuan berkenaan turut mendedahkan beberapa nama pemimpin pembangkang yang didakwa bersekongkol dengan Clare dan Sarawak Report.

“Selain pengakuan video berkenaan, saya turut dimaklumkan bahawa pengadu menyerahkan kepada polis salinan e-mel yang didakwa ditulis oleh Clare bertarikh 1 Mac lalu.

“Tulisannya saya petik ditulis Clare adalah, saya petik “Thanks! Yes it was quite a job!…. sitting up night after night cleverly ‘forging’ all those documents” (Terima kasih! Ya satu tugasan yang sukar!... berjaga saban malam untuk memalsukan semua dokumen dengan bijak),”katanya pada sidang media di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, ketika ini, tidak dapat dipastikan lagi apa yang dimaksudkan oleh Clare, tetapi akhir-akhir ini ramai pihak ragu dengan Clare dan laporan Sarawak Report yang memalsukan fakta.

Beliau berkata, niat jahat itu sekiranya benar adalah satu perbuatan yang sangat dahsyat bertujuan menjatuhkan nama baik dan maruah kerajaan dalam mentadbir urus negara di samping memesongkan rakyat supaya membenci kerajaan.

Menurutnya, niat jahat ini termasuk pemalsuan fakta yang dilakukan oleh pihak berkepentingan sudah tentu akan memberi tekanan kepada ekonomi negara.

Sehubungan itu, Abdul Rahman menggesa polis membuat siasatan segera berhubung laporan berkenaan.

Pada masa sama, beliau memohon polis menghubungi rakan sejawat di INTERPOL dan polis United Kingdom supaya individu yang dinamakan dalam video pengakuan itu dapat disiasat, dan menyiasat apa yang dimaksudkan dalam e-mel berkenaan.

“Ini bagi mengelak bukti yang masih dalam tangan atau pegangan mereka tidak dimusnahkan atau dialihkan pihak berkepentingan.

“Saya juga dimaklumkan bahawa individu warga British yang dinamakan dalam video pengakuan itu hanya akan memberi keterangan jika ada penyiasatan rasmi oleh pihak berkuasa United Kingdom,” katanya.

Abdul Rahman berkata, beliau berkeyakinan tinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menentukan keutamaan dan menyiasat laporan polis itu dengan terperinci, profesional dan telus.

“Saya juga mempunyai keyakinan sama pihak INTERPOL akan memberi kerjasama kepada PDRM untuk mengesah dan mencari kebenaran dalam isu pemalsuan fakta dalam Sarawak Report,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2015 @ 5:04 AM