Zaid Salim


Kuala Terengganu: Lebih 500 kilogram (kg) sotong berjaya dinaikkan 285 peserta dalam tempoh 24 jam pada Pertandingan Candat Sotong Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sempena 100 Tahun Koperasi, hari ini.

Pengarah SKM Terengganu, Mohd Azman Abdul Aziz berkata, program bertemakan 'Terengganu Comel' itu diadakan sempena musim candat sotong bermula April hingga Ogos ini.

Menurutnya, pelbagai program diadakan di seluruh negara dan pihaknya memilih untuk menganjurkan pertandingan mencandat sotong di Terengganu.

PASUKAN Pemancing Terengganu menunjukkan hasil tangkapan sotong sebanyak 71 kilogram sekaligus muncul juara Pertandingan Candat Sotong. FOTO Zaid Salim
PASUKAN Pemancing Terengganu menunjukkan hasil tangkapan sotong sebanyak 71 kilogram sekaligus muncul juara Pertandingan Candat Sotong. FOTO Zaid Salim

"Program ini mendapat sambutan baik apabila menerima hampir 300 peserta membabitkan 28 pasukan dan mereka berjaya mengumpul sebanyak 540 kg sotong hasil tangkapan keseluruhan peserta bermula 6 petang semalam sehingga 6 pagi ini.

"Saya gembira serta bersyukur apabila semua peserta selamat pergi dan balik walaupun ada berlaku ribut dan hujan di laut," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah kepada pemenang di Jeti Nelayan Pulau Duyong, di sini.

Pelepasan peserta disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.

Sementara itu, pasukan Persatuan Pemancing Terengganu muncul juara dengan tangkapan terbanyak iaitu 71 kg sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, manakala tekong yang mengendalikan bot membawa pulang wang sebanyak RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 1:19 PM