Nazdy Harun


Kuala Berang: Lain orang lain minat dan hobinya, begitu juga dengan seorang warga emas apabila menjadikan lebih 200 unit televisyen rosak sebagai hiasan di pagar rumahnya.

Menurut Abdul Manat Ibrahim, 71, dari Kampung Paloh Nyor, di sini, minat mengumpul dan menyusun televisyen di sepanjang pagar rumahnya memberi kepuasan tersendiri.

Katanya, hingga kini dia sudah menyusun lebih daripada 200 unit televisyen yang diperoleh daripada kedai membaiki peralatan elektrik di sekitar daerah ini.

"Jangan kata saya 'tak betul', saya masih waras namun hobi saya agak pelik dan lain dari yang lain membuatkan ada individu yang tersalah anggap.

"Ada juga pelancong luar yang lalu jalan di hadapan rumah saya turun dari kenderaan mereka dan mengambil gambar kenangan kerana jalan kampung ini adalah laluan untuk ke Tasik Kenyir.

"Saya hanya mengeluarkan modal tambang kenderaan saja untuk mengambil televisyen di kedai-kedai yang memberi perkakas itu kepada saya sebelum menyusun di bahagian luar pagar rumah," katanya yang kini memegang jawatan sebagai Biro Kebajikan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Daerah Hulu Terengganu.

Menceritakan pengalaman kerjayanya, Abdul Manat berkata, dia hanya berkhidmat selama lapan tahun bersama ATM sebelum mengambil keputusan untuk bersara.

Menurutnya, selepas itu dia diterima bertugas di Jabatan Pertanian Ajil dan Kuala Berang, di sini, sebelum bertukar ke Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu dan bersara wajib pada 2007.

PEMANDANGAN sekitar kawasan rumah Abdul Manat di Kampung Paloh Nyor. FOTO Nazdy Harun
PEMANDANGAN sekitar kawasan rumah Abdul Manat di Kampung Paloh Nyor. FOTO Nazdy Harun

Katanya, hobinya itu bermula sejak 10 tahun lalu namun ketika itu bilangan televisyen yang disusun agak sedikit berbanding dua tahun kebelakangan ini yang mana jumlahnya semakin bertambah.

"Saya rasa puas dengan hobi ini selain itu tujuan saya meletakkan televisyen bagi memagari kawasan rumah serta menjadikan sebagai salah satu tarikan apabila dipandang pengguna jalan raya.

"Setidaknya pengguna jalan raya yang lalu akan memperlahankan kenderaan untuk melihat susunan televisyen ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan kelajuan kenderaan," katanya yang kini menghabiskan masa dengan berkebun.

Menurutnya, selain televisyen terdapat juga alatan lain seperti kipas angin, basikal, bot fiber dan lampu dihias di perkarangan rumahnya itu.

Katanya, masih banyak yang ingin dihias namun kekangan masa dan kudrat membataskan hobinya itu namun dia tidak berputus asa kerana ada juga rakan-rakan yang membantu.

Abdul Manat berkata, dia mempunyai dua rumah masing-masing sebuah di kiri dan kanan jalan kampung berkenaan dan kedua-dua bahagian hadapan kediaman disusun dengan televisyen.

"Saya lakukan ini untuk kepuasan dan hobi saja dan jangan pula yang tersalah anggap kerana dengan usaha kecil ini setidaknya dapat menarik perhatian pengguna jalan di kawasan ini," katanya.

ABDUL Manat menunjukkan televisyen yang disusun di hadapan rumahnya. FOTO Nazdy Harun
ABDUL Manat menunjukkan televisyen yang disusun di hadapan rumahnya. FOTO Nazdy Harun

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 10:31 AM