BAS persiaran hancur teruk akibat impak.
BAS persiaran hancur teruk akibat impak.
Farah Suhaidah Othman


Kampar: Pemandu bas persiaran yang merempuh belakang sebuah treler hingga menyebabkan dirinya parah, selain 14 penumpang lain cedera ringan di Kilometer 310.3, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, di sini semalam, mempunyai enam saman tertunggak.

Semakan melalui portal MyEG berdasarkan nombor kad pengenalan dan nama pemandu berusia 35 tahun yang parah itu, dua daripada kesalahan itu membabitkan hilang kawalan manakala dua lagi kesalahan lampu isyarat.

Sementara itu, sumber polis mengesahkan bas persiaran itu pula mempunyai sembilan saman tertunggak.

Dalam kemalangan jam 2.20 pagi itu, pemandu berkenaan tersepit di tempat duduknya selepas bas dipandunya yang membawa 18 penumpang merempuh belakang treler yang bergerak perlahan di hadapannya di lorong kiri.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Ng Kong Soon berkata, siasatan mendapati, bas berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju ke Genting Highlands.

Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan pemandu terbabit parah pada tangan dan kaki kanan manakala 13 penumpang, termasuk tiga warga asing cedera ringan.

“Semua penumpang yang cedera serta pemandu berkenaan dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan manakala pemandu treler berusia 46 tahun bersama kelindannya tidak mengalami kecederaan,” katanya.

“Bagaimanapun, semua penumpang dibenarkan keluar wad hari ini (semalam) manakala pemandu bas berkenaan dipindahkan ke sebuah hospital swasta di Pulau Pinang,” katanya.

Kong Soon berkata, siasatan awal mendapati, treler yang membawa muatan batu kapur dalam perjalanan dari Gopeng menuju ke Tapah dan berada di lorong kiri laluan lebuh raya.

“Setibanya di lokasi kejadian, treler berkenaan dirempuh bas terbabit yang datang secara tiba-tiba dari arah belakang.

“Akibat rempuhan itu, bas persiaran itu mengalami kerosakan di bahagian hadapan,” katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian itu polis sudah mengambil sampel darah dan menjalankan ujian ujian air kencing terhadap pemandu bas berkenaan bagi mengenal pasti penyalahgunaan dadah ketika pemanduan.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, Nor Zamri A Wahab berkata, bomba menerima panggilan pada jam 1.42 pagi dan sebaik tiba mendapati pemandu bas tersepit di tempat duduk pemandu manakala penumpang sudah keluar dari bas berkenaan.

Katanya, bomba kemudiannya melakukan kerja mengeluarkan pemandu bas itu menggunakan peralatan menyelamat sebelum mangsa dan tujuh penumpang dibawa ke Hospital Tapah.

Beliau berkata, operasi ditamatkan pada jam 2.44 pagi selepas pemandu bas dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Julai 2016 @ 11:24 AM