GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Dua lelaki warga emas ditahan kerana disyaki terbabit dengan kes pecah amanah sebuah persatuan membabitkan kerugian RM65,000, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 64 dan 73 tahun itu ditahan secara berasingan di Petaling Jaya dan Shah Alam.

"Tangkapan itu susulan laporan polis daripada wakil ahli persatuan berkenaan yang mendapati baucar pembayaran persatuan yang disyaki palsu digunakan oleh pengerusi, setiausaha dan bendahari persatuan.

"Hasil semakan terhadap penyata bank dan baucar pembayaran mendapati wang persatuan dipindahkan ke akaun peribadi presiden persatuan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, baucer pembayaran dikeluarkan sebanyak empat kali dengan jumlah keseluruhan RM65,000.

"Terdapat empat cek bank digunakan bagi pengeluaran ini dibuat tanpa kelulusan ahli mesyuarat agung jawatankuasa persatuan," katanya.

"Reman bagi kedua-dua suspek ditolak di Mahkamah Ampang hari ini, bagaimanapun keterangan dua suspek ini sudah diambil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Jun 2022 @ 4:30 PM