Ruwaida Md Zain

Kuala Langat: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menggalakkan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara menubuhkan koperasi.

Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, NGO aktif dan mempunyai ramai ahli digalakkan mewujudkan koperasi sebagai platform untuk melaksanakan program ekonomi bagi menambah pendapatan kerana hasilnya boleh digunakan untuk menguruskan NGO berkenaan.

"Saya mencadangkan mana-mana NGO yang bergerak di atas nama NGO semata-mata berdaftar di bawah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menubuhkan koperasi kerana selain menjaga kebajikan, mereka boleh menggerakkan ekonomi.

"Insya-Allah, kami akan berikan sokongan supaya NGO ini boleh memainkan peranan lebih berkesan apabila mereka menubuhkan koperasi.

"Koperasi bukan sahaja satu platform boleh membantu menggerakkan ekonomi setempat, malah boleh menyumbang kepada ekonomi negara selain menyatupadukan masyarakat, ini sangat penting," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Program COOP CARE Jelajah Santuni Asnaf dan Keluarga B40 Kuala Langat anjuran Angkasa dengan kerjasama Kelab kebajikan Nur Insaniah Selangor di Telok Panglima Garang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Kelab Kebajikan Nur Insaniah Selangor, Md Zamri Sadarom.

ABDUL Fattah (tengah) bersama penerima sumbangan pada Program Coop Care Jelajah Santuni Asnaf dan Keluarga B40 Kuala Langat di Balai Raya Batu 9 Kebun Baru, Telok Panglima Garang. FOTO Faiz Anuar
ABDUL Fattah (tengah) bersama penerima sumbangan pada Program Coop Care Jelajah Santuni Asnaf dan Keluarga B40 Kuala Langat di Balai Raya Batu 9 Kebun Baru, Telok Panglima Garang. FOTO Faiz Anuar

Abdul Fattah berkata, menurut Suruhanjaya Koperasi Malaysia, sehingga Disember lalu, Angkasa menaungi 14,625 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan 6.1 juta orang.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, ada bermula dengan NGO, kemudian ditubuhkan koperasi, berjalan kedua-duanya, kekal sebagai NGO, tetapi untuk aktiviti ekonomi mereka gunakan koperasi sebagai platform.

Menurutnya, mengikut rekod Suruhanjaya Koperasi terdapat 204 NGO yang ada koperasi iaitu satu entiti digabungkan untuk bergerak bersama-sama.

"Mengenai Program COOP CARE, sumbangan dalam bentuk keperluan asas melalui program Barang Asas 100 (BA100) disampaikan kepada kira-kira 50 keluarga asnaf.

"Angkasa dengan kerjasama Kelab Kebajikan Nur Insaniah Selangor menyampaikan sumbangan kepada asnaf di sekitar Teluk Panglima Garang, bagi meringankan beban masyarakat yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

"Kelab Kebajikan Nur Insaniah Selangor turut menyediakan set makanan kepada golongan asnaf melalui program Dapur Infaq Nurinsaniah bagi memupuk keprihatinan masyarakat terhadap golongan memerlukan bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 4:15 PM