FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri memperuntukkan RM60 juta untuk kerja menaik taraf sistem bekalan air bersih di daerah Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat berkata, peruntukan itu digunakan untuk pemasangan paip bersaiz 900 milimeter (mm) sepanjang 24 kilometer (km) bermula daripada Loji Rawatan Air (LRA) Kepong II ke tangki imbangan dan tangki Gondang, Marang.

Katanya, kerja pemasangan paip di bawah program penambahan skip kerja Projek Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (KTU) itu sudah siap dilaksanakan pada pertengahan bulan lalu.

"Jumlah pengguna yang berdaftar dengan Syarikat Air Terengganu (SATU) di daerah Marang adalah sebanyak 31,000 akaun.

"Bekalan air bersih di daerah Marang bergantung sepenuhnya daripada LRA Kepong Satu dan Dua di daerah Kuala Terengganu," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hanafiah yang juga ADUN Chukai berkata, projek pemasangan paip retikulasi baru untuk daerah Kuala Terengganu dan Marang dilaksanakan bermula Jun 2022 dijangka siap sepenuhnya bulan depan.

Katanya, keperluan bekalan air bersih semasa di daerah Marang adalah sebanyak 80 juta liter sehari (JLH).

"Setakat ini bekalan air bersih sedia ada adalah sebanyak 65 JLH yang dibekalkan melalui tiga tangki utama iaitu daripada tangki Belat (16 JLH), tangki Gondang (17 JLH) dan tangki MIEL (32 JLH).

"Kerajaan negeri juga bercadang untuk membina LRA baharu berserta sistem agihan di daerah Marang," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2024 @ 2:11 PM