GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Polis membongkar aktiviti memburu hidupan liar secara haram dengan menggunakan senjata api buatan sendiri di beberapa kawasan hutan di Bukit Merah dan Gerik, Perak.

Ia hasil serbuan dilakukan Pasukan Gerakan Khas (PGK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada kelmarin serta semalam.

Pengarah JKDNKA Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, tiga individu termasuk dua warga Thailand ditahan dan pihaknya merampas 76 ekor burung membabitkan nilai rampasan berjumlah lebih RM600,000.

"Pada mulanya PGK melakukan tiga serbuan di Bukit Merah dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun. Pemeriksaan menemukan 72 burung murai batu dan 47 sangkar.

"Seterusnya, pasukan membuat satu serbuan di kawasan Gerik dan menahan dua lelaki warga Thailand masing-masing berusia 33 serta 37 tahun.

"Anggota turut merampas empat burung pelbagai jenis, tiga laras senjata disyaki senapang patah, dua senjata disyaki bakakuk, satu pistol, lima busur panah silang, 25 butir peluru penabur dan satu beg plastik lutsinar disyaki daun ketum anggaran 300 gram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan IPD Gerik untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kata beliau, pihaknya percaya tangkapan itu hanya sebahagian daripada mereka yang masih bebas serta bergerak aktif memburu haiwan dilindungi dan pihaknya kini giat mengesan saki-baki sindiket.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 10:04 PM