GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Harga ikan menunjukkan penurunan sebanyak RM2 hingga RM5 sekilogram sejak beberapa hari lalu walaupun bekalan ikan masih berkurangan di negeri ini.

Ikan kembung yang sebelum ini berharga RM22 hingga RM23 sekilogram kini turun kepada RM18 dan RM20 sekilogram.

Harga ikan selayang pula menurun daripada RM15 dan RM16 sekilogram kepada RM10 hingga RM12, malah sotong juga menunjukkan penurunan harga daripada RM30 sekilogram kepada RM25 hingga RM26.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kota Bharu Muhammad Asri Mat Yatim, 60, berkata walaupun bekalan masih berkurangan, ia sedikit meningkat berbanding sebelum ini yang mendorong kepada kenaikan harga ikan.

"Beberapa hari lalu nelayan sudah mula turun ke laut walaupun cuaca masih tidak menentu pada sebelah petang dan sering berlaku ribut.

"Namun, bekalan ikan masih belum pulih sepenuhnya, cuma lebih baik berbanding sebelum ini," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, sekiranya semua nelayan kembali semula ke laut seperti sediakala, beliau percaya bekalan ikan dan makanan laut lain akan pulih.

"Harga ikan ini tidak menentu... ada turun naik kerana ia bergantung kepada cuaca semasa. Jika bekalan kurang secara automatik akan menjadi mahal.

"Kita bukan saja-saja mahu menaikkan harga ikan, namun ia bergantung kepada bekalan yang diperoleh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Jun 2022 @ 4:03 PM