Noor Azmi Ghazali (kiri) dan isteri Datin Dr Siti Norizah Bachik (kanan) menyantuni tetamu yang hadir pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya hari ini. FOTO BERNAMA
Noor Azmi Ghazali (kiri) dan isteri Datin Dr Siti Norizah Bachik (kanan) menyantuni tetamu yang hadir pada majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediamannya hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Taiping: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak menggalakkan kaedah rawatan alternatif seperti menggunakan serbuk kunyit atau daun semambu bagi merawat penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata sebaliknya orang ramai diminta berjumpa doktor sekiranya mempunyai simptom jangkitan.

"KKM memang tidak galakkan rawatan alternatif kerana ia tidak ditentukan kesahihannya lagi dari sudut sains malah tiada rawatan khusus dari sudut sains bagi merawat penyakit berkenaan.

"Kita juga bimbang gejala dehidrasi. Jadi kanak-kanak yang terkena HFMD perlu dipastikan minum air secukupnya. Jika langsung tidak boleh minum air, memang perlu diberikan secara intravenous (suntikan ke dalam salur darah) dan dibawa ke hospital," katanya yang ditemui pemberita pada majlis jamuan Aidilfitri di kediamannya di sini hari ini.

Pada 17 Mei lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilapor berkata jumlah kes HFMD di negara ini meningkatkan pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu dengan 31,661 kes dilaporkan.

Dr Noor Hisham berkata 7,526 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 yang berakhir pada 14 Mei lalu yang menunjukkan peningkatan sebanyak 349 peratus berbanding ME sebelumnya dengan hanya 1,676 kes di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 5:02 PM