Azmi Abu Kassim ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Polis Daerah Wangsa Maju di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Azmi Abu Kassim ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Polis Daerah Wangsa Maju di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis Kuala Lumpur bersedia membantu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan baki 60 pelarian etnik warga Rohingya yang masih lolos dari Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang, dalam insiden rusuhan, April lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya masih menunggu arahan daripada Bukit Aman untuk tindakan lanjut.

"Saya difahamkan Bukit Aman dan Jabatan Imigresen (JIM) sedang mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu.

"Apabila kita terima arahan nanti, tindakan bersesuaian akan diambil seperti melakukan sekatan jalan raya (SJR)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Polis Daerah Wangsa Maju di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, di sini, hari ini.

Azmi berkata, sebelum ini, pihaknya ada melakukan risikan dan pemantauan kerana tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang lolos berkenaan datang ke Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

"Kita masih melakukan pemantauan berhubung perkara itu dan kita bersedia untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi mengesan baki 60 pelarian Rohingya berkenaan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memburu baki 60 pelarian etnik warga Rohingya yang masih lolos dalam insiden terbabit.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin dipetik berkata, pihaknya sedang melancarkan operasi di seluruh negara bagi mengesan 60 individu berkenaan.

Pada 20 April lalu, seramai 528 pelarian Rohingya melarikan diri dari depot tahanan sementara itu selepas memecahkan pintu blok dan jeriji penghadang kira-kira jam 4.30 pagi.

Bagaimanapun, enam daripada mereka maut dirempuh kenderaan ketika cuba melintas di Kilometer 168 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Jawi, Pulau Pinang.

Hamzah mengesahkan masih terdapat 60 pelarian etnik Rohingya yang lolos dari Depot Tahanan Sementara Imigresen Relau di Sungai Bakap belum berjaya ditahan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 3:05 PM