ALTIMET (kiri) dan Hans Isaac. FOTO arkib NSTP
ALTIMET (kiri) dan Hans Isaac. FOTO arkib NSTP
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Hans Isaac tewas dalam saingan merebut jawatan Ketua Cabang Ampang bagi Pemilihan PKR kali ini.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, sekadar memperoleh 609 undi sementara pesaing selebriti lain, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau Altimet, yang turut tewas, memperoleh 589 undi.

Pemilihan bagi Ketua Cabang Ampang dimenangi Daing Muhammad Reduan Bachok, yang memperoleh 942 undi.

Sementara itu di Cabang Pandan, calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menang jawatan Ketua Cabang Pandan selepas memperoleh 548 undi mengatasi pencabarnya, Mohamad Rashidi Hasan yang memperoleh 373 undi.

Sementara di Cabang Gombak, menepati ramalan apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari menang bagi jawatan Ketua Cabang Gombak mengatasi pesaingnya, yang juga bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador.

Amiruddin memperoleh 1,858 undi mengatasi Farhash yang memperoleh 1,215 undi.

Setakat jam 1.45 tengah hari ini, tiga negeri sudah mengumumkan keputusan bagi pemilihan PKR iaitu Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 3:04 PM