DATUK Hans Isaac
DATUK Hans Isaac
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Tiga selebriti tanah air bakal menghangatkan pemilihan PKR 2022, selepas menghantar pencalonan bagi merebut jawatan Ketua Cabang.

Sumber parti memaklumkan, pelakon dan penerbit, Datuk Hans Isaac dan penyanyi Altimet, akan bersaing bagi merebut jawatan Ketua Cabang Ampang.

"Kedua-dua selebriti itu akan bertanding dalam saingan sembilan penjuru bagi jawatan itu, setakat ini," katanya kepada Berita Harian.

Sementara itu, pelakon dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki turut bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.

Hans mengumumkan menyertai PKR pada 2020. Sebelum ini, timbul desas desus beliau akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) bagi kerusi Ampang, selepas penyandang kerusi itu yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, dipecat daripada parti.

Selain itu, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad dan Afdlin menyertai PKR pada tahun lalu.

Pencalonan bagi jawatan Cabang PKR berlangsung selama lima hari bermula Jumaat lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 4:50 PM