ZAHIDI. FOTO Bernama
ZAHIDI. FOTO Bernama
Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Sebuah jawatankuasa bagi memberi cadangan mengawal penyalahgunaan ketum dan hemp diwujudkan dalam usaha mendapatkan kelulusan penanaman dua tumbuhan itu daripada Kabinet untuk tujuan perubatan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, jawatankuasa yang terdiri daripada bekas pegawai polis itu diwujudkan oleh pihaknya selepas kerajaan memberi 'lampu hijau' bagi membincangkan isu terbabit sebelum ini.

"Apabila kerajaan sudah beri 'lampu hijau' untuk bincang perkara ini, saya perlu bincang pula dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dari segi pengawalan, kita sudah lantik bekas pegawai polis tertinggi untuk jadi pengerusi jawatankuasa ini.

"Mereka ini terdiri daripada bekas pegawai narkotik dan Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) dan lain-lain bahagian. Mereka akan beri cadangan kepada kita dan kita akan kemukakan kepada kerajaan supaya ketum dan hemp ini tidak disalah guna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, di Padang MSPPK, Ambangan Height di sini, hari ini.

Zahidi berkata, beliau turut berharap lebih ramai bekas polis dan tentera terbabit dalam jawatankuasa itu bagi membantu usaha pihaknya.

"Kita sekarang sudah peringkat perbincangan dengan kerajaan dan akhirnya kita hendak hingga ke Parlimen untuk mengubah akta mengenai dua tanaman ini," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 5:48 PM