HAWARI Hashim. Foto Ihsan KAME 2022.
HAWARI Hashim. Foto Ihsan KAME 2022.
Samadi Ahmad


Kathmandu: "Saya menangis kehampaan ketika turun dari kem tiga hingga Kem Induk Everest (EBC) apabila tidak dapat meneruskan pendakian ke puncak Everest atas faktor cuaca dan keselamatan," kata salah seorang peserta Misi Keluarga Everest 2022 (KAME 2022) yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, Muhammad Hawari Hashim.

Hawari, 32, berkata beliau diarahkan oleh ketua malim gunung untuk berpatah balik disebabkan angin kencang disusuli ribut salji mencecah kelajuan 50 kilometer (km) sehingga 70 km per jam.

Menurutnya, ribut bermula pada 22 Mei lalu 3 pagi (waktu Nepal) dan ketika kejadian dia bersama tiga pendaki lain terdiri dari Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampun Yaacub, 54, Koperal Pragash Murugesu, 32, dari Kem Ulu Kinta, Perak dan pakar teknologi maklumat, Oh Jin Heng (Jack), 37.

Katanya, kedudukan mereka ketika itu berada kira-kira 7,600 meter (m) dari paras laut (8,849 m ketinggian Everest) di 'Yellow Band' antara kem tiga dan kem empat dan hanya memerlukan kira-kira 16 jam untuk tiba di puncak tertinggi dunia itu.

"Kami cuba meneruskan pendakian pada 7 pagi (waktu Nepal) namun cuaca bertambah buruk sehingga menyebabkan penglihatan terbatas disebabkan ribut salji dan pada masa sama tiga khemah tempat kami berlindung turut diterbangkan ribut," katanya ketika ditemui, di sini.

Hawari berkata, Awang Askandar yang berhadapan masalah simpton buta salji manakala Pragash pula dikhuatiri berhadapan radang dingin (frost bite) diarahkan berpatah balik lebih awal ke EBC diiringi malim gunung.

Katanya, sekiranya diteruskan berkemungkinan mereka dua akan berhadapan risiko radang dingin dan Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (AMS).

"Saya dan Jack cuba meneruskan perjalanan namun cuaca semakin bertambah buruk dan adakalanya terpaksa berlindung di sebalik batu bagi mengelak ribut salji."

"Ketika ribut saya juga tidak sedar sarung tangan bahagian sebelah kiri tercicir dan terpaksa memasukkan tangan ke dalam poket sut sepanjang perjalanan dan bernasib kerana tidak mengalami radang dingin."

"Cuaca buruk yang berlarutan itu menyebabkan kami diarahkan untuk berpatah balik ke EBC oleh ketua malim gunung atas faktor kesihatan dan keselamatan."

"Saya bersyukur kerana tidak berhadapan sebarang kemalangan dan kecederaan serta akur dengan ketentuan walaupun sudah mencuba melakukan yang terbaik serta akan meneruskan impian untuk menawan puncak tertinggi dunia ini pada tahun depan, "katanya.

Sementara itu, Ketua Misi KAME 2022, Azim Afif Ishak, 32, pendaki Everest 2016 berkata, misi ini sebenarnya mampu direalisasikan namun terpaksa akur apabila berhadapan faktor cuaca di luar jangkaan.

Menurutnya ,setakat ini kesihatan semua peserta dalam keadaan baik dan tidak berhadapan sebarang simpton selepas pemeriksaan dilakukan pihak perubatan KAME 2022.

Katanya ,sebelum ini pihaknya turut berhadapan kekangan seperti mendapat permit pada saat akhir disebabkan masalah sumber kewangan yang diterima lewat dari pihak penaja.

"Pada peringkat awal pihaknya hanya mampu membeli empat permit dan diikuti enam permit lain bagi melakukan pendakian bermula 22 hingga 29 Mei.

"Kita juga menerima maklumat dari pihak kaji cuaca Nepal yang memaklumkan pada bulan ini salji juga mula mencair awal dan aktiviti pendakian ke puncak Everest ditutup pada hujung bulan ini atas faktor keselamatan."

"Misi yang mendapat sokongan Kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini terpaksa ditangguhkan ke Mac tahun depan atas faktor keselamatan dan pihak kami masih mempunyai peruntukan berjumlah RM1.5 juta untuk meneruskan misi ini membabitkan peserta yang sama."

"Berdasarkan pengalaman yang dilalui peserta termasuk menjalani latihan di Labuche Peak (6,119 m) dan latihan teknikal di laluan Khumbu Icefall ia menjadi satu kelebihan dan persediaan untuk menghadapi misi pendakian tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 12:10 PM