GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Omar Ahmad


Johor Bahru: Johor merekodkan paling banyak kes kebakaran terbuka dengan 1,042 kes (22 peratus) sepanjang tempoh bermula Januari sehingga April lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid berkata, ia diikuti dengan negeri Selangor iaitu sebanyak 712 kes (15 peratus) dan Kedah dengan 520 kes (11 peratus) daripada 4,633 kes kebakaran terbuka tahun ini di seluruh negara.

Katanya, aktiviti pertanian (tanah gambut) menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan kes kebakaran terbuka di negeri-negeri berkenaan.

"Kebakaran terbuka turut disumbangkan dengan peningkatan kes pembakaran di tapak pelupusan sampah.

"Bagaimanapun, kebakaran di kawasan belukar atau lalang masih menjadi penyumbang utama kepada kes kebakaran terbuka dengan sebanyak 67 peratus diikuti dengan kes pembakaran di tapak pelupusan sampah (22 peratus) daripada keseluruhan kes kebakaran terbuka pada tahun ini.

"Antara faktor utama kepada kebakaran di kawasan belukar atau lalang adalah susulan daripada keadaan cuaca yang panas dan kering," katanya kepada pemberita di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang & Sijil Perkhidmatan Terpuji 2022 JBPM Negeri Johor di sini, hari ini.

Jelas Mohamad Hamdan, bagaimanapun negara sebenarnya mencatatkan penurunan kes kebakaran terbuka sebanyak 58 peratus pada tahun lalu berbanding dengan kes kebakaran terbuka yang direkodkan pada 2019.

Malah katanya, berbanding pada 2020 juga, negara turut mencatatkan penurunan sebanyak 11 peratus kes kebakaran terbuka.

"JBPM memandang serius peningkatan jumlah kes kebakaran terbuka di tapak pelupusan sampah apabila jumlah kes yang direkodkan sehingga suku tahun ini telah mencatatkan 1,014 kes berbanding jumlah keseluruhan kes yang direkodkan pada tahun lalu iaitu sebanyak 3,126 kes.

"Kes kebakaran di tapak pelupusan sampah ini sekiranya tidak dibendung akan memberi kesan negatif kepada kesihatan penduduk setempat kerana risiko pencemaran udara yang tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 5:22 PM