Zaid Salim

Kuala Terengganu: Penantian keluarga kepada nelayan, Tuan Razali Wok yang terjatuh laut berakhir apabila mayat lelaki terbabit ditemukan pada pagi hari ini.

Anak bongsu mangsa, Tuan Nurul Hidayah Tuan Razali, 37, berkata, bapanya yang dipanggil Bak, 74, itu ditemui dalam keadaan tidak bernyawa, namun dia dan keluarganya terutamanya ibu mereka reda dan bersyukur.

"Siang malam kami berdoa dan menunggu Bak pulang biarpun dalam keadaan tidak bernyawa.

"Syukur Alhamdulillah pagi ini penantian berakhir. Allah makbulkan doa kami. Pemergian Bak sudah dijangka dan bersyukur sekurang-kurangnya ada tanda," katanya ditemui selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II Datuk Dr Muhammad Zawawi Salleh di rumah keluarganya di Kampung Raja, Chendering di sini, hari ini.

Tuan Nurul Hidayah berkata, dia menerima berita penemuan bapanya daripada ibu saudaranya yang bekerja di Lembaga Pelabuhan Ikan Malaysia (LKIM) pada 8 pagi.

Menurutnya, walaupun mayat warga emas terbabit masih dalam perjalanan ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tetapi dia yakin mayat ditemui itu adalah ayahnya berdasarkan warna pakaian dipakai iaitu baju biru dan berseluar hitam.

Katanya, mayat itu ditemukan anak rakan ayahnya yang dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan kira-kira 30 batu nautika dari sini pada 7.45 pagi.

"Walaupun belum melihat mayat berkenaan, namun kami yakin berdasarkan warna baju dan seluar yang dipakai, mayat itu adalah Bak," katanya.

Tuan Nurul Hidayah mewakili keluarganya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit mencari ayahnya itu termasuk abang, Tuan Romzi, 51, yang tidak kenal erti penat apabila siang dan malam turun ke laut.

Keluarga Tuan Kuntum diselubungi kesedihan dirumahnya di Kampung Raja Chendering,  selepas mendapat tahu suaminya, Tuan Razali Wok, 74, yang hilang selepas terjatuh dari bot ditemukan, pagi ini. FOTO ZAID SALIM
Keluarga Tuan Kuntum diselubungi kesedihan dirumahnya di Kampung Raja Chendering, selepas mendapat tahu suaminya, Tuan Razali Wok, 74, yang hilang selepas terjatuh dari bot ditemukan, pagi ini. FOTO ZAID SALIM

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 3:08 PM