Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya (dua dari kanan) bersama Roslan (tiga dari kanan) menunjukkan draf buku Birds of Tembeling Hornbill Valley. FOTO Roselan Ab Malek.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, Datuk Idros Yahya (dua dari kanan) bersama Roslan (tiga dari kanan) menunjukkan draf buku Birds of Tembeling Hornbill Valley. FOTO Roselan Ab Malek.
Roselan Ab Malek


BERBEKALKAN enam tahun pengalaman dan penyelidikan mengenai habitat pelbagai jenis burung di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut lapan anak tempatan menerbitkan buku mengenai spesies burung yang terdapat di situ.

Pengerusi Persatuan Pencinta Burung Taman Negara, Roslan Abu Kassim berkata, buku berjudul ‘Birds of Tembeling Hornbill Valley’ itu dihasilkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Katanya, penerbitan bahan ilmiah itu juga mendapat kerjasama Persatuan Pencinta Burung Malaysia bagi memastikan semua maklumat yang dibukukan itu memenuhi spesifikasi antarabangsa.

“Idea untuk menerbitkan buku ini adalah hasil perbincangan dan pemerhatian kami sepanjang menganjurkan Taman Negara Birdcount sejak tahun 2012.

“Apabila kami menganjur dan menyertai acara itu, kami dapati Taman Negara dan kampung sekitar mempunyai pelbagai spesies burung tempatan, termasuk yang hampir pupus...jadi, sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan khazanah Taman Negara ini kekal dipelihara,” katanya.

Selain mengandungi maklumat dalam bentuk penulisan, buku itu juga menyediakan gambar menarik dan spesies burung yang jarang dilihat oleh orang ramai.

Buku setebal 52 muka surat itu memaparkan 233 spesies dari 59 keluarga burung yang terdapat di sekitar Taman Negara, termasuk burung yang berhijrah pada musim tertentu ke sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 1:10 PM