ANGGOTA penyelamat melakukan SAR dua wanita yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika mendaki di kawasan Gunung Suku. FOTO Ihsan JBPM Perak
ANGGOTA penyelamat melakukan SAR dua wanita yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika mendaki di kawasan Gunung Suku. FOTO Ihsan JBPM Perak
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki wanita yang hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika mendaki di kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, diperluas pada hari keempat pada hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, gerak kerja hari keempat operasi pencarian dipecahkan kepada dua pasukan dengan operasi diperluaskan ke kawasan laluan air melalui terowong laluan air melepasi jalan raya utama.

"Pasukan satu memperluaskan operasi pencarian ke kawasan laluan air melalui terowong laluan air melepasi jalan raya utama dengan bantuan daripada Unit K9.

"Bantuan jentera daripada syarikat konsesi Belati Wangsa turut digunakan bagi menggali tanah dan serpihan balak yang menutupi terowong laluan air berkenaan," katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, pasukan kedua pula meneruskan pencarian di laluan kepala air.

"Pasukan kedua meneruskan pencarian di laluan kepala air bermula dari bawah ke atas dan lebih memfokuskan kepada kawasan longgokan batang buluh dan balak," katanya.

Semalam, dilaporkan cebisan anggota badan dipercayai milik dua pendaki ditemukan pada 4.30 petang.

Ahad lalu, dua wanita dikenali sebagai See Su Yen, 32, dan Ng Yee Chew, 46, dilaporkan dihanyutkan kepala air ketika mendaki gunung berkenaan pada 5 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 2:06 PM