HUJAN berlarutan sehingga petang memaksa SAR dua pendaki wanita hilang dihanyutkan kepala air ditangguhkan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
HUJAN berlarutan sehingga petang memaksa SAR dua pendaki wanita hilang dihanyutkan kepala air ditangguhkan. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pendaki wanita hilang yang dihanyutkan kepala air ketika mendaki kawasan Gunung Suku, Simpang Pulai di sini, semalam, ditangguhkan petang ini susulan cuaca buruk.

Ia susulan keadaan hujan lebat yang disertai tiupan angin kuat bermula kira-kira 1 tengah hari dan berlarutan sehingga petang.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, operasi terpaksa ditangguhkan awal hari ini susulan cuaca yang memungkinkan fenomena kepala air berlaku semula yang sekali gus meletakkan pasukan SAR dalam risiko.

"Kalau cuaca ini (hujan) hingga petang, maka operasi terpaksa 'stand down' (ditangguhkan) dan akan disambung semula esok.

"Selain meletakkan pasukan dalam risiko berlaku fenomena kepala air, penangguhan operasi juga disebabkan kesukaran pasukan SAR bergerak kerana jalan treknya yang licin, selain tiupan angin agak kuat," katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dekat Kampung Pos Atap Baru, di sini, hari ini.

Katanya, pencarian mangsa hari ini tertumpu di titik lokasi (spot) yang berada kira-kira 150 meter ke hilir aliran air daripada spot kaki manusia dipercayai milik seorang dari mangsa yang dijumpai petang semalam.

"Walaupun besar kemungkinan mangsa kini berada di kawasan pergerakan laluan air, namun kita sebolehnya cuba mengelakkan pasukan menyelamat daripada bergerak sangat dekat dengan laluan itu kerana risiko kepala air secara tiba-tiba," katanya..

Operasi pencarian pada hari ini membabitkan keseluruhan sebanyak 41 kekuatan anggota yang turut disertai anggota Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk), Angkatan Pertahanan Awam (APM), dan polis.

Sementara itu, JPNPk menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, jabatan itu mengesahkan tiada sebarang lesen pembalakan diberikan di sekitar lokasi kejadian itu iaitu dalam kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Gunung Suku, sebaliknya kejadian kepala air yang berlaku berpunca daripada hujan lebat.

Menurut kenyataan itu, susulan itu jabatan berkenaan menutup sementara kebenaran mendaki Gunung Suku disebabkan keadaan yang agak berbahaya ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 6:07 PM