PASANGAN suami isteri direman reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.FOTO L.Manimaran
PASANGAN suami isteri direman reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.FOTO L.Manimaran
Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Siasatan polis mendapati suami isteri yang ditahan susulan kematian anak saudara mereka dipercayai akibat didera turut mendera adik mangsa yang kini sedang dirawat di hospital.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kanak-kanak berusia enam tahun itu kini sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh di sini.

Ketika dihubungi, beliau mengesahkan terdapat kesan kecederaan fizikal lama dan baru pada badan mangsa yang sebelum itu diselamatkan dari sebuah rumah di Desa Pengkalan Bandaraya di sini, kelmarin.

Hari ini media melaporkan, suami isteri yang ditahan berhubung kes kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang meninggal dunia disyaki didera semalam direman reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Anis Hanini Abdullah selepas menerima permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Ipoh di sini.

Pasangan masing-masing berusia 40 tahun yang juga ibu dan bapa saudara mangsa itu direman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Semalam media melaporkan, suami isteri ditahan susulan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang juga anak saudara mereka disyaki didera.

Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, penahanan suspek dibuat susulan laporan polis dibuat pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, pada 3.14 pagi.

Berdasarkan laporan, seorang kanak-kanak perempuan dibawa ke hospital oleh ambulans, namun disahkan meninggal dunia pada 1.45 pagi.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 1:20 PM