MOHD Zukhairul ketika memberi tunjuk ajar kepada muridnya. FOTO Noorazura Abdul Rahman
MOHD Zukhairul ketika memberi tunjuk ajar kepada muridnya. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Kubang Pasu: "Saya ditakdirkan lumpuh separuh badan sejak 17 tahun lalu namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk menjadi pendidik," kata Mohd Zukhairul Yahya, 42.

Guru sains di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sintok (SKBBS) itu berkata, dia pada mulanya menangis memikirkan keadaan diri yang tidak lagi sempurna apatah lagi hilang upaya menggunakan tangan kanan.

Bagaimanapun kerana terlalu cintakan kerjaya sebagai pendidik, bapa kepada dua anak itu tidak pernah putus harapan.

"Selepas dua minggu diserang angin ahmar, saya boleh berjalan perlahan-lahan. Saya menjalani sesi fisioterapi secara berkala selama dua tahun di hospital, di rumah pun saya akan buat sendiri latihan seperti yang diajar ahli fisioterapi.

"Saya terpaksa belajar menulis menggunakan tangan kiri, tulisan saya pada awalnya sangat teruk namun saya tetap gagahi agar dapat mengajar seperti biasa. Selama enam bulan saya berlatih menulis sebelah kiri, akhirnya saya boleh, Alhamdulillah Allah izinkan asalkan kita berusaha," katanya.

Mohd Zukhairul atau lebih mesra dipanggil Cikgu Zul berkata, dia tidak berseorangan mengharungi kehidupan sebagai orang kurang upaya (OKU) apabila turut mendapat sokongan moral daripada ahli keluarga, rakan guru dan murid.

Katanya, ia menyebabkan hari-hari yang dilalui tidak terasa asing dalam kalangan warga sekolah terbabit.

"Rakan di sekolah selalu beri semangat dan panduan kepada saya untuk terus jalankan tanggungjawab sebagai guru.

"Murid pun sangat memahami, kadang-kadang susah juga hendak bekerja dengan sebelah tangan, tetapi kalau mereka nampak saya bawa buku atau buat eksperimen mereka akan cepat-cepat tolong," katanya.

Cikgu Zul berkata, pihak pentadbiran sekolah juga mengambil keputusan menempatkan dia di sebuah makmal di tingkat bawah.

Selain itu, katanya, minat yang mendalam dalam bidang fotografi turut menyebabkan dia aktif sebagai jurugambar sekolah.

"Setiap kali sekolah menganjurkan sebarang aktiviti saya akan merakamkan gambar kenangan sebelum dokumentasi untuk simpanan sekolah," katanya.

Cikgu Zul yang juga seorang guru catur sekolah berkata, dia sedang melatih 10 murid yang bakal mewakili sekolah ke peringkat daerah.

"Saya sentiasa aktif dalam mendidik murid yang saya anggap sebagai anak sendiri.

"Sempena sambutan hari guru pada tahun ini, saya harap guru-guru lain juga akan terus cekal dan bersemangat mendidik anak bangsa menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 10:32 AM