BOMBA memadamkan kebakaran di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA memadamkan kebakaran di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Nahas mengakibatkan lima individu maut selepas rentung terbakar di Kilometer (KM) 246 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, di sini, tengah malam tadi, mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh 13 kilometer.

PLUS Berhad menererusi ciapan di Twitter @plustrafik, memklumkan setakat 7.41 pagi ini, lorong kanan menghala utara sudah dibuka, manakala lorong kiri masih ditutup bagi kerja pembersihan kawasan kemalangan.

Menurut ciapan itu, laluan kontra turut diaktifkan.

"Trafik sesak 13KM arah utara dan trafik perlahan arah selatan. Sila gunakan laluan alternatif," kata ciapan itu setakat jam 7.41 pagi tadi.

Terdahulu, ciapan @plustrafik setakat jam 7.04 pagi tadi memberitahu, semua lorong menghala utara dan lorong kanan menghala selatan masih terhalang, menjadikan semua lorong menghala ke utara ditutup kira-kira enam jam.

Kemalangan membabitkan tiga kenderaan jam 12.52 tengah malam tadi mengakibatkan lima individu rentung selepas kereta dinaiki mereka terbakar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, nahas itu membabitkan sebuah kereta yang dinaiki lima mangsa maut itu, bersama dua lori treler masing-masing bermuatan besi dan mozek.

Difahamkan, kesemua lima mangsa maut berkenaan adalah pelajar sebuah universiti swasta dinaungi kerajaan negeri di Kuala Kangsar.

Berita berkaitan

Lima rentung dalam kemalangan tiga kenderaan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 8:32 AM