Rosli Ilham


Chukai: "Saya mengucap panjang selepas dimaklumkan (Ahmad) Naim (Najmi) terbabit dalam kemalangan yang menyedihkan itu," kata Che Norsiah Mohd, 58.

Che Norsiah adalah jiran kepada keluarga Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, mangsa kemalangan maut di Kilometer 246, Lebuhraya Utara Selatan arah utara di Kuala Kangsar, tengah malam tadi.

Menurut Che Norsiah, dia menerima berita sedih itu daripada ibu arwah, Shamila Abdullah, 40-an, kira-kira 6 pagi tadi.

Temuramah Norsiah Mohd, 58 yang merupakan jiran salah seorang penuntut Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21 yang maut dalam dalam kemalangan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Kuala Kangsar, tengah malam tadi ketika ditemui di Taman Perumahan Perwaja, Chukai. VIDEO GHAZALI KORI
Temuramah Norsiah Mohd, 58 yang merupakan jiran salah seorang penuntut Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21 yang maut dalam dalam kemalangan di Kilometer 246 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat Kuala Kangsar, tengah malam tadi ketika ditemui di Taman Perumahan Perwaja, Chukai. VIDEO GHAZALI KORI

"Saya tidak dapat bercakap panjang kerana Shamila ketika itu sangat sedih dan asyik menangis. Sehingga 1 tengah hari tadi, ibu bapa arwah masih belum tiba di Hospital Kuala Kangsar.

"Saya sering berhubung dengan mereka dan menasihati supaya berhati-hati memandu ke sana," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Perumahan Perwaja, Kemaman, di sini, petang ini.

Harian Metro difahamkan, kesemua adik-beradik arwah dibawa bapa saudara mereka ke Kampung Kijal di Kemaman, sementara ibu bapa arwah ke Kuala Kangsar.

Che Norsiah berkata, dia mengenali Ahmad Naim Najmi sejak menetap di taman perumahan itu dan menyifatkan arwah seorang anak yang baik.

"Arwah anak yang baik dan semua jiran mengenalinya kerana dia suka menegur jiran tetangga, sentiasa senyum serta boleh diajak bergurau.

"Saya kenal arwah sejak 20 tahun menetap di taman perumahan ini, dia tidak pernah berkawan dengan budak nakal termasuk anak-anak dari luar kawasan ini," katanya.

Menurutnya, anaknya turut terasa kehilangan arwah kerana mereka semua sangat rapat dan berkawan baik.

"Arwah ada pulang beraya baru-baru ini dan saya sangat terkilan tidak dapat bertemu dengannya kerana kami sekeluarga pulang beraya di Felda Jerangau, Dungun," katanya.

Selain Ahmad Naim Najmi, turut terbunuh dalam kemalangan itu empat rakannya, iaitu Muhammad Nasrun Aidul Munir Akhbar, 22; Iqbal Hasnun Halimi, 23; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20.

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mei 2022 @ 4:53 PM