GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Sebanyak 2,246 kes baharu Covid-19 dilaporkan setakat semalam, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti di negara ini meningkat kepada 4,461,135 kes.

Menerusi data yang dikongsikan dalam laman sesawang COVIDNOW, kes baharu itu membabitkan 2,241 penularan tempatan dengan lima kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Kes baharu itu paling tinggi dikesan di Selangor iaitu sebanyak 1,160 kes, diikuti Kuala Lumpur dengan 261 kes dan Pulau Pinang (151).

Penularan Covid-19 itu turut dikesan di Negeri Sembilan dengan 116 kes baharu, Johor (104), Perak (97), Kedah (92), Melaka (51), Kelantan (46), Sarawak (39), Sabah (38), Pahang (36), Terengganu (32), Perlis (13), Labuan (6) dan Putrajaya (4).

Mengenai kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini, setakat semalam, terdapat 22,368 kes aktif dan daripada jumlah itu, sebanyak 94.9 peratus atau 21,230 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selain itu, sebanyak 1,065 kes mendapatkan rawatan di hospital, unit rawatan rapi (ICU) dan memerlukan alat bantuan pernafasan (39), ICU dan tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (30) serta pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) (4).

Bagi kes kematian akibat Covid-19, data menunjukkan terdapat satu kes kematian dilaporkan setakat malam tadi, dan tiada kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID) yang dicatatkan.

Kematian akibat Covid-19 itu direkodkan di Kedah, perkembangan itu menjadikan sehingga kini angka korban meningkat kepada 35,584 kes.

Dalam pada itu, turut dilaporkan adalah sebanyak 2,433 kes sembuh dilaporkan di negara ini sekali gus menjadikan sehingga kini sebanyak 4,403,183 kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 9:24 AM