PENDUDUK  bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan sempena sambutan Hari Raya Enam. FOTO NAZDY HARUN
PENDUDUK bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan sempena sambutan Hari Raya Enam. FOTO NAZDY HARUN
Oleh Nazdy Harun


Kuala Berang: Kebiasaannya sambutan 1 Syawal akan diraikan secara meriah oleh umat Islam namun berbeza buat penduduk Kampung Durian Kassim di sini, apabila menjadikan Hari Raya Enam (HRE) sebagai sambutan utama mereka.

Penduduk, Kamaruddin Mamat, 61, berkata tradisi menyambut HRE dengan meriah bermula lebih 50 tahun lalu dan budaya itu dipercayai berasal dari daerah Besut apabila penduduknya berpindah ke sini.

Menurutnya, kemeriahannya amat dirasai apabila lebih 300 penduduk berkumpul dengan masing-masing membawa makanan untuk dinikmati bersama.

"Selain makan bersama, penduduk juga melakukan aktiviti membersih tanah perkuburan dan majlis tahlil.

"Penduduk kampung ini sedikit berbeza apabila raya keenam menjadi lebih meriah," katanya.

Penduduk lain, Wan Abd Hafiz Wan Abd Rahman, 37, berkata dia sudah 20 tahun tidak dapat merasai pengalaman menyambut raya enam kerana kekangan cuti berikutan bekerja di Kuala Lumpur.

"Tahun ini saya mendapat cuti yang panjang dan dapat sama-sama merasai kemeriahan sambutan HRE yang diadakan oleh penduduk kampung.

"Kemeriahan raya enam ini lebih daripada 1 Syawal, kerana penduduk kampung akan berkumpul dan menikmati juadah raya secara beramai-ramai," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Durian Kassim, Narasid Abu Bakar, 49, berkata sambutan HRE tahun ini amat meriah berikutan sudah dua tahun tidak dapat menyambutnya berikutan pandemik covid-19.

"Lebih 300 penduduk hadir pada walaupun hari ini (semalam) adalah hari bekerja, tetapi ada yang sanggup bercuti bagi meraikan sambutan hari raya enam kali ini.

"Sambutan seperti ini dapat mengeratkan silaturahim antara penduduk selain bertujuan mendedahkan kepada golongan muda untuk meneruskan tradisi yang sekian lama diadakan ini," katanya.

PENDUDUK  menyediakan makanan yang dibawa dari rumah  masing-masing untuk dinikmati bersama-sama.
PENDUDUK menyediakan makanan yang dibawa dari rumah masing-masing untuk dinikmati bersama-sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mei 2022 @ 7:00 AM