KERIANGAN jelas terpancar ketika acara mengopek durian.
KERIANGAN jelas terpancar ketika acara mengopek durian.

Klang: Tidak sekadar menyediakan juadah hari raya, Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) di sini, meraikan pelajar dan guru dengan mengadakan pesta durian sempena Sambutan Majlis Hari Raya yang diadakan di kolej itu, semalam.

Lebih 800 pelajar, guru dan ibu bapa hadir memeriahkan program berkenaan.

Pengetuanya Omar Salleh berkata, sebanyak dua tan durian kampung lebih 2,000 biji disediakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu sempena pesta berkenaan.

“Kebetulan Ramadan dan Syawal tahun ini jatuh pada musim durian menyebabkan kami mengadakan pesta ini kepada anak murid KISAS, guru serta ibu bapa.

“Jumlah durian tahun ini lebih berbanding tahun lalu menyebabkan majlis kali ini lebih meriah,” katanya.

Menurutnya, program tahunan itu diadakan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara pelajar dan guru selain menarik golongan pelajar yang semakin kurang menggemari ‘raja buah’ itu.

“Program hari raya ini diadakan setiap tahun dan selain dihidangkan dengan durian, kami turut menampilkan kelainan dengan pembabitan pelajar dari setiap kediaman dalam penyediaan juadah kegemaran masing-masing.

“Ia secara tidak langsung mewujudkan komitmen dalam diri mereka seolah-olah rakan mengunjungi rumah mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Julai 2015 @ 5:04 AM