GAMBAR hiasan. Foto ihsan PDRM
GAMBAR hiasan. Foto ihsan PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Sebanyak 676 kemalangan direkodkan di negeri ini sepanjang pelaksanaan Op Selamat 18, meningkat 73 kes atau 12 peratus berbanding Op Selamat 15, tiga tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, daripada jumlah itu, empat membabitkan kemalangan maut.

Katanya, pada hari terakhir sahaja 89 kes kemalangan dicatatkan dengan Melaka Tengah tertinggi sebanyak 60 kes diikuti Alor Gajah (20) dan Jasin (sembilan).

"Sepanjang 10 hari Op Selamat 18 dilaksanakan bermula 29 April lalu hingga semalam, jumlah kemalangan di negeri ini meningkat 73 kes iaitu 676 kemalangan berbanding 603 kes ketika Op Selamat 15 pada 2019.

"Jumlah parah juga meningkat 29 kes daripada tiga kepada 32 kes pada tahun ini, namun angka kematian berkurang satu kes tahun ini menjadikan empat kematian direkodkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Zaki berkata, turut mencatatkan peningkatan kes adalah mangsa cedera ringan sebanyak 36 kes tahun ini berbanding tiada kes pada 2019.

"Jumlah saman yang dikeluarkan juga meningkat 32 peratus atau 7,956 saman berbanding 6,022 saman ketika Op Selamat 15.

"Saman tertinggi membabitkan daerah Melaka Tengah sebanyak 5,959 saman diikuti Jasin (1,566) dan Alor Gajah (441)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 9:05 PM