POLIS trafik mengawal lalu lintas di Plaza Tol Ayer Keroh. FOTO NURALIAWATI SABRI.
POLIS trafik mengawal lalu lintas di Plaza Tol Ayer Keroh. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Polis Melaka mengeluarkan sebanyak 4,477 saman membabitkan pelbagai kesalahan trafik sepanjang lima hari Ops Selamat 18 dijalankan sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, jumlah saman itu direkodkan bermula 29 April lalu dan hasilnya menunjukkan peningkatan berbanding Ops Selamat 15 dengan hanya 3,272 saman dikeluarkan.

Beliau berkata, daripada jumlah saman itu 257 dikeluarkan terus kepada pemandu atau pemilik kenderaan selepas didapati melakukan kesalahan trafik.

"Saman paling tinggi dikeluarkan adalah di daerah Melaka Tengah dengan 3,691 diikuti Jasin sebanyak 687 dan hanya 98 saman di Alor Gajah.

"Antara kesalahan yang banyak dikesan dilakukan pemandu adalah melakukan parkir bertindih, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta halangan lalu lintas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memantau lalu lintas di Plaza Tol Ayer Keroh, petang ini.

Menurut beliau, sepanjang Ops Selamat 18 juga pihaknya merekodkan peningkatan 49 kes membabitkan kemalangan jalan raya menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 340.

"Dalam lima hari ini kita merekodkan 340 kemalangan dengan peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding hanya 291 pada Ops Selamat 15.

"Selain itu tiga kemalangan maut turut direkodkan malah daripada keseluruhan kemalangan direkodkan penunggang motosikal adalah kategori pengguna jalan raya paling tinggi terbabit dengan kemalangan," katanya.

Mengulas lanjut Mohamad Zaki berkata, pihaknya turut mengenal pasti 12 kawasan di negeri ini yang sering berlaku kemalangan.

"Kawasan itu membabitkan lima di Melaka Tengah, empat di Alor Gajah dan tiga daerah Jasin.

"Lokasi-lokasi ini kita akan beri perhatian dan melakukan rondaan yang kerap dengan memberi kepada pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika memandu," katanya.

Menurutnya, sehingga semalam juga pihaknya merekodkan sebanyak 263,977 kenderaan memasuki negeri ini melalui tiga pintu masuk utama iaitu melalui Plaza Tol Ayer Keroh, Plaza Tol Lipat Kajang dan Plaza Tol Simpang Ampat.

"Selain menggunakan laluan utama kita dapati pengguna jalan raya turut menggunakan beberapa laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 5:39 PM