Rosman Shamsudin

Slim River: Walaupun sayur kangkung ditanam 'Budak Kangkung' Muhammad Afiq Aryan Rosman, 7, rosak akibat dijangkiti penyakit hama, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus bercucuk tanam di Taman Slim Permata, dekat sini.

Langkah beliau menanam sayur bayam selepas kangkung rosak membuahkan hasil apabila bayam yang ditanam hidup dengan subur di belakang rumahnya.

Muhammad Afiq Aryan berkata, menanam bayam lebih mudah jika dibandingkan dengan kangkung yang perlu disemai di dalam lubang di atas tanah.

"Untuk tanaman sayur bayam , saya perlu taburkan sahaja biji benih bayam bercampur pasir di atas tanah yang telah digemburkan.

"Kemudian, saya hanya perlu menyiram setiap hari dan menggunakan baja tahi ayam kering untuk memastikan bayam itu hidup subur," katanya.

MUHAMMAD Afiq Aryan menunjukkan hasil tanaman sayur bayam yang ditanam di belakang rumah dekat Taman Slim Permata. FOTO Rosman Shamsudin
MUHAMMAD Afiq Aryan menunjukkan hasil tanaman sayur bayam yang ditanam di belakang rumah dekat Taman Slim Permata. FOTO Rosman Shamsudin

Kira-kira tujuh kilogram (kg) bayam yang ditanam selama tiga minggu dikutip dan disedekahkan kepada seorang penduduk di Rumah Awam Tiga, Slim River.

"Kalau tanam kangkung, saya perlu cabut terus kangkung berkenaan tetapi bayam apabila kita potong, tunas baharu akan muncul dan boleh dipetik semula.

"Selepas sayur bayam berjaya dikutip sebanyak tiga kali, saya akan terus beralih pula menanam pokok kangkung kembali," katanya.

Katanya, apa yang dilakukannya hanyalah untuk mengisi masa lapang terutama ketika musim cuti persekolahan dan di samping itu boleh berkongsi hasil tanaman dengan orang ramai.

Sebelum ini, usaha Muhammad Afiq menanam kangkung dan menyedekahkannya kepada jiran tular di media sosial.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 11:15 AM